Lubuk Yu selamat dikunjungi
Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
utusanpahang@utusan.com.my
|
Hoh Khai Mun (tiga kiri) ditemani ADUN Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Samsudin (dua kanan) memegang banting keselamatan melancong selepas majlis pembukaan semula Pusat Rekreasi Lubuk Yu, Maran , Pahang, baru-baru ini.
|
MARAN 22 Nov. - Tarikh 26 hingga 30 Jun lalu sudah pasti meninggalkan kesan kepada para pengunjung pusat rekreasi Lubuk Yu di sini kerana ia menggemparkan seluruh negara berikutan penyebaran wabak Meliodosis dan Leptospirosis.
Penutupan itu dibuat berikutan lapan orang meninggal dunia kerana disyaki akibat jangkitan kedua-dua wabak itu.
Langkah menutup pusat rekreasi tersebut merupakan pertama kali berlaku kerana jarang terdapat kawasan seumpama itu di tempat lain ditutup berikutan kehadiran pengunjung untuk beriadah dan bermandi-manda bersama keluarga.
Tindakan segera kerajaan negeri menutup pusat berkenaan pada tarikh tersebut adalah langkah terbaik bagi mengelakkan lebih ramai pengunjung dijangkiti wabak berkenaan.
Sebuah Jawatankuasa Khas Bencana Wabak Melioidosis dan Leptospirosis ditubuhkan serta-merta dengan dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail.
Sepanjang penutupan pusat rekreasi itu kerja-kerja pembersihan dilakukan oleh beberapa agensi kerajaan memakai pakaian khas bagi mengelak terkena jangkitan itu.
Selain itu, pengambilan sampel persekitaran telah dijalankan beberapa kali iaitu pada 9,14, 22, 26 Julai dan 3 Ogos lalu dengan sampel air sungai, air lopak, mata air, tanah permukaan dan tanah dalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Hoh Khai Mun berkata, keputusan analisis bagi sampel air dan tanah yang telah diambil menunjukkan bahawa terdapat pencemaran mikroorganisma Burkholderia Pseudomallei dan Leptospira iaitu bakteria yang menyebabkan jangkitan Meliodosis dan Leptospirosis.
Menurut beliau, ia menunjukkan kedua-dua mikroorganisma itu adalah punca berlakunya jangkitan bagi kes-kes yang dilaporkan dalam wabak tersebut.
Beliau berkata, setelah kerja pembersihan dan pembasmian kuman dijalankan di lokasi tersebut pada 22 Julai 2010, sampel air dan tanah permukaan telah dibuat ujian ulangan sebanyak dua kali iaitu pada 26 Julai dan 3 Ogos lalu.
"Hasil ujian tersebut didapati ia adalah negatif untuk kedua-dua wabak itu. Ujian ulangan dibuat bagi memastikan kawasan tersebut benar-benar bebas daripada sebarang wabak sebelum dibenarkan dibuka kembali kepada orang ramai," katanya di sini baru-baru ini.
Khai Mun berkata, memandangkan sampel ulangan air dan tanah telah negatif sebanyak dua kali, jawatankuasa terbabit memutuskan pusat rekreasi itu dibenarkan dibuka semula mulai 1 November lalu setelah kerja-kerja pembersihan dijalankan sekali lagi pada 28 Oktober lalu.
Dalam pada itu, bagi mengurangkan risiko dan mengelakkan berlakunya jangkitan di pusat berkenaan dan pusat-pusat rekreasi sungai serta air terjun lain di Pahang, para pengunjung diminta mengikuti beberapa langkah melibatkan soal kebersihan kawasan sekitar.
Khai Mun memberitahu, individu yang mempunyai risiko seperti penyakit kencing manis, paru-paru kronik, buah pinggang atau penyakit lain yang merendahkan daya tahan badan adalah tidak digalakkan untuk mengunjungi pusat-pusat rekreasi itu.
Jelasnya, nasihat tersebut diberikan kerana golongan tersebut lebih berisiko untuk mendapat jangkitan wabak terbabit dan perlu berhati-hati ketika berada di kawasan itu.
Katanya, bagi individu yang mempunyai luka atau penyakit kulit disarankan supaya tidak mandi, bermain air atau menyentuh tanah secara langsung bagi mengelak jangkitan.
"Pengunjung ke pusat rekreasi adalah dinasihatkan menggunakan bekalan air yang selamat untuk minum atau membasuh bekas makanan.
"Jika tiada bekalan selamat disediakan, pengunjung perlu membawa bekalan air sendiri," katanya.
Beliau memberitahu, pengunjung yang mempunyai tanda-tanda mengalami kesakitan dikehendaki segera mendapat rawatan daripada klinik atau hospital selepas mengunjungi pusa rekreasi terbabit.
Justeru beliau mengucapkan terima kasih kepada semua kerana bertungkus lumus menjalankan kerja-kerja pembersihan serta kajian persampelan bagi memastikan kawasan tersebut selamat dikunjungi.
Katanya, pengalaman dan maklumat yang dikumpulkan sepanjang wabak itu dapat digunapakai bagi memastikan kejadian wabak yang serupa tidak akan berulang lagi di pusat-pusat rekreasi lain di seluruh negeri.