Sunday, 8 May 2011

Usaha Tingkat Imej Lubuk Yu



(sumber : Sinar Harian )




SUNGAI JERIK - Penduduk daerah ini meminta Pelancongan Pahang mempertimbangkan cadangan nama Gunung Berantai Eco Park diguna pakai bagi tujuan mempromosikan keseluruhan kawasan Pusat Rekreasi Lubuk Yu. 

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Jerik, Tan King Hua berkata, nama baru itu lebih komersial selain mampu meningkatkan imej Lubuk Yu yang terletak dalam kawasan Gunung Berantai. 

Menurutnya, penggunaan nama baru tepat dan sesuai bagi memastikan keindahan semula jadi sekitar Lubuk Yu dipromosikan sebagai antara destinasi perkelahan utama di negeri ini. 

Seorang penduduk, Mohd Safwan Ishak, 20, berkata, Lubuk Yu hanya satu daripada lokasi dalam Gunung Berantai kerana terdapat dua lagi lokasi air terjun di bahagian hulu. 

Menurutnya, jika sebelum ini, promosi hanya membabitkan Lubuk Yu namun penggunaan nama baru diyakini mampu memperluaskan kawasan perkelahan. 

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, permohonan bagi tujuan itu dikemukakan kepada Jabatan Perhutanan Negeri dan Pelancongan Pahang supaya kawasan perkelahan itu dipromosikan. 

Menurutnya, penggunaan nama lebih komersial perlu kerana mahu kawasan promosi diperluaskan dan tidak terhad di Lubuk Yu sahaja. 

“Nama Lubuk Yu tetap kekal dan apa yang diharap, penggunaan Gunung Berantai Eco Park diguna untuk tujuan promosi yang meliputi keseluruhan kawasan rekreasi. 

“Pentadbiran setempat juga memohon kawasan yang di bawah seliaan Jabatan Perhutanan ini diurus tadbir oleh pihak tertentu seperti Air Terjun Panching, Kuantan. 

“Ini bukan menafikan hak jabatan berkenaan tetapi bagi memastikan kawasan rekreasi diurus dengan baik sepenuh masa termasuk menjaga kemudahan disediakan,” katanya.

No comments:

Post a Comment