Sunday, 8 May 2011

Lubuk Yu Sepi

(Sumber : Berita Harian | Isnin 02.05.2011 )


  • Foto
    KERUSI awam dirosakkan di samping persekitaran yang kotor menjejaskan pelancong ke Lubuk Yu.
  • Foto
    JALAN masuk ke kawasan Lubuk Yu yang berlubang dan sempit menjejaskan kunjungan.
Vandalisme, tandas, bilik persalinan kotor jejas kawasan rekreasi 

BANDAR JENGKA: Lengang dan terbiar. Gambaran terkini kawasan rekreasi Lubuk Yu, sejak dibuka semula November lalu selepas ditutup lima bulan bermula Julai, akibat jangkitan bakteria melioidosis dan leptospirosis sehingga mengakibatkan lapan kematian.

Jika sebelum ini, kawasan itu menjadi tumpuan utama lokasi perkelahan penduduk tempatan termasuk dari daerah lain tetapi ia semakin kurang dikunjungi walaupun kerajaan negeri sudah mengesahkan bahawa tempat itu selamat dan tiada pencemaran air.



Kawasan berhampiran FELDA Ulu Jempol, pernah dikunjungi lebih 1,000 orang sebulan kerana keindahan alam.
Bagaimanapun, sejak berlaku kejadian berkenaan, keindahan alam semula jadinya gagal menarik minat pengunjung yang mengambil sikap berhati-hati dan bimbang kehadiran bakteria itu walaupun Jabatan Kesihatan daerah sudah mengesahkan kawasan itu selamat.

Tinjauan Edisi Wilayah mendapati, pengunjung yang datang ke situ kurang 20 orang pada hujung minggu dan cuti umum, manakala pembangunan prasarana yang disediakan pula semakin terbiar.

Tinjauan juga mendapati terdapat beberapa kemudahan tempat duduk sudah rosak akibat perbuatan vandalisme dan mendatangkan beban kepada pihak berkuasa tempatan untuk membaik pulih pada masa akan datang.

Pengunjung, Ismail Md Resat, 62, ketika ditemui berkata, beliau sedih dan terkilan dengan keadaan terkini kawasan rekreasi yang suatu ketika dulu menjadi tumpuan penduduk tempatan untuk beriadah bersama ahli keluarga masing-masing. "Jalan masuk ke kawasan pusat rekreasi ini juga rosak dan sempit dengan keadaan persekitaran yang tidak diselenggara dengan baik.

"Rugi jika kawasan rekreasi ini dibiarkan saja tanpa dilakukan usaha untuk mengembalikan semula oleh pihak berkaitan," katanya. 

Beliau menyarankan supaya pihak berkuasa tempatan mengambil pelbagai langkah drastik untuk menarik minat orang ramai datang ke situ.

“Ini termasuk membaiki keadaan jalannya yang berlopak dan berlubang memandangkan kawasan berkenaan pernah menjadi tumpuan penduduk tempatan dan dari negeri lain.

“Saya yakin jika jalan berkenaan diperbaiki maka lebih ramai pengunjung datang ke pusat rekreasi berkenaan,” katanya dan memaklumkan bahawa dua gerai menjual makanan turut ditutup di situ menyebabkan mereka terpaksa membawa makanan sendiri.

Pengunjung, Ramlah Joned, berkata kawasan rekreasi boleh popular semula sekiranya kemudahan prasarana dibaiki.

Katanya, kemudahan seperti tandas dan bilik persalinan tidak diselenggara dengan baik menyebabkan pengunjung bimbang untuk menggunakan kemudahan itu. 

No comments:

Post a Comment