Sunday, 8 May 2011

Berkelah di GBEP

(sumber : Sinar Harian )




SUNGAI JERIK - Dengan kedudukannya kira-kira 30 kilometer dari Bandar Maran dan 15 kilometer dari Bandar Jengka, Gunung Berantai Eco Park (GBEP) menjanjikan pengalaman luar biasa kepada pengunjung. 


:Seorang pengunjung, Mohd Safwan Ishak, 21, berkata, pemandangan hutan dan lokasi perkelahan di beberapa lubuk di hutan lipur itu amat mengasyikkan malah menjadi kegilaan pencinta alam untuk berekreasi dan bersantai bersama rakan serta keluarga. 



Menurutnya, keindahan semula jadi yang belum diterokai amat sesuai untuk mereka yang sukakan cabaran untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti berekreasi, berkhemah, mendengar nyanyian unggas dan fotografi. 



”Jalan masuk sepanjang dua kilometer ini agak sempit dan kadangkala kenderaan perlu berhenti di bahu jalan ketika bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan. 



”Namun, pada musim buah-buahan, pengunjung akan menyaksikan deretan pokok durian yang berbuah di sepanjang laluan itu,” katanya kepada Sinar Harian. 



Seorang lagi pengunjung, Junaidah Harun, 37, berkata, hutan lipur itu tidak asing lagi kepada penduduk tempatan dan luar untuk bersantai dan berekreasi pada hujung minggu atau hari kelepasan am. 



Menurutnya, lokasi bermandi-manda yang cetek di bahagian bawah dengan susunan batu unik sesuai untuk perkelahan seisi keluarga namun lubuk di bahagian atas pasti menarik perhatian golongan dewasa. 



”Pencinta alam akan terpesona dengan aliran sungai dan kolam-kolam yang jernih malah keadaan ini boleh menenangkan jiwa individu yang sibuk dengan urusan kerja,” katanya. 



:Jika dari arah Maran mengikut laluan Maran-Jerantut, sebelum sampai ke Gunung Berantai Eco Park, pengunjung akan bertemu sebuah lagi lokasi perkelahan iaitu Sungai Yeh yang mempunyai Lubuk Ujid berdekatan Biro Tata Negara (BTN) Kuala Sentul.

No comments:

Post a Comment